Blog Widget by LinkWithin

Sejarah & Latar Belakang

>> Isnin, 20 April 2009


Sekolah Kebangsaan Jabi terletak di atas lot tanah nombor 781 dan 1690 dengan keluasan 4 relung 392 jemba dalam mukim Jabi, daerah Pokok Sena. Nama Jabi diambil sempena nama sejenis tumbuhan yang hidup meliar di kawasan ini.

Sejarah Sekolah Kebangsaan Jabi bermula pada tahun 1909 dengan pembinaan sebuah bangunan yang beratapkan rumbia, berdinding buluh dan berlantaikan tanah di tapak kafeteria yang ada sekarang. Dahulunya sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Melayu Jabi yang kemudiaannya ditukar nama kepada Sekolah Umum Jabi. Selepas negara mencapai kemerdekaan sehingga ke hari ini sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Jabi.

Pada tahun 1918 sebuah bangunan dua tingkat telah dibina (PWD 554). Bangunan ini telah mengalami proses pengubahsuaian sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1984 dan 1994. Pengubahsuaian kali kedua adalah untuk membina asrama desa yang menempatkan sebahagian besar murid-murid cacat penglihatan.

Pada tahun 1960 dua buah bangunan setingkat (JKR 1725 dan JKR 3680) telah dibina dan diubahsuai pada tahun 2005.

Pada tahun 1973 sebuah bangunan akademik tiga tingkat (JKR 3710) yang menempatkan bilik darjah, pejabat dan bilik pelbagai guna telah dibina. Sebuah kantin (JKR 3711) yang lengkap juga telah dibina pada tahun yang sama.

Pada awal tahun 1980 sebahagian tapak sekolah ini telah diambil sementara oleh Jabatan Pelajaran Negeri Kedah untuk dibina sekolah pendidikan khas. Namun begitu pada tahun 1996 sekolah ini telah berpindah ke tapak baru di Kuala Alor, bersebelahan dengan SK Seri Taman.

Selang dua tahun kemudian, Program Integrasi Masalah Pertuturan (Pekak dan Bisu) daripada SMK Syed Mohd Al Bukhary telah menumpang di sini sehingga 2006 apabila mereka telah berpindah ke Kompleks Pendidikan, Jalan Stadium, Alor Setar.

Bermula pada tahun 2007 hingga sekarang, kerja-kerja pembinaan bangunan-bangunan dan prasarana baru sedang giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2009.

0 ulasan:

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP